ANALISIS KOMPONEN STANDARD GURU MALAYSIA KE ARAH MELAHIRKAN GURU MALAYSIA YANG BERTARAF DUNIA

     Peranan sebagai guru masa kini semakin mencabar. Mereka bukan sahaja memainkan peranan utama sebagai penyampai ilmu pengetahuan dan kemahiran kepada pelajar, malah bertanggungjawab untuk membentuk minat, memperkembangkan bakat dan kebolehan pelajar. Guru juga merupakan sumber untuk membina daya pemikiran yang analitikal, kritikal dan kreatif bagi membentuk individu-individu yang boleh menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku di sekeliling mereka selaras dengan hala tuju sistem pendidikan.




    Standard Guru Malaysia (SGM) yang menggariskan kompetensi professional adalah patut dicapai oleh guru. Keperluan yang disediakan oleh agensi dan institusi latihan perguruan adalah untuk membantu guru bagi guru mencapai tahap kompetensi yang ditetapkan. Dokumen ini disediakan sebagai panduan dan rujukan bagi guru, pendidik guru, agensi dan institusi latihan perguruan dalam usaha untuk melahirkan serta melestarikan guru dengan baik. Standard dan keperluan berasaskan kepada lima aspek, adalah Misi Nasional, Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), Falsafah Pendidikan Guru (FPG), Tatasusila Profesion Keguruan, dan Etika Kerja Kementerian Pelajaran Malaysia.

    Melalui kompenen yang berada di Standard Guru Malaysia (SGM), guru perlulah mempunyai tiga kompenen utama iaitu, pengetahuan, kemahiran dan juga nilai-nilai profesional. Komponen pertama iaitu pengetahuan dan kefahaman, guru-guru yang kompeten perlu mempunyai pengetahuan yang profesional ke arah memaksimumkan kemampuan mereka untuk meningkatkan hasil pembelajaran pelajar. Pengetahuan tentang pelajar, kurikulum, mata pelajaran, pedagogi, ICT, sangat penting untuk membolehkan guru bertidak balas terhadap perubahan keperluan pelajar.

    Komponen kedua adalah berkaitan dengan kemahiran teknik dan kaedah semasa proses pengajaran dan pembelajaran (PdP). Sebagai guru perlulah mempunyai pemikiran yang kritikal untuk melaksanakan teknik dan kaedah yang bersesuaian. Justeru itu, Guru yang profesional menggunakan pelbagai teknik dan strategi penilaian prestasi yang mengukur kemahiran berfikir aras tinggi di kalangan pelajar dan memberikan projek dan aktiviti-aktiviti penyelesaian masalah yang realistik, yang akhirnya akan membolehkan pelajar-pelajar mendemonstrasikan kebolehan mereka untuk berfikir secara kreatif.

  Komponen terakhir yang ada pada Standard Guru Malaysia (SGM) adalah nilai profesional. Guru yang profesional menggunakan saluran komunikasi terbuka dan bekerja secara rapat dengan ahli-ahli keluarga, ahli-ahli profesional pendidikan dan lain-lain ahli sistem sokongan pelajar untuk menggalakkan penambahbaikan yangberterusan terhadap pengalaman pendidikan yang didapati.

    Jika seseorang guru dapat mencapai apa yang terkandung dalam komponen Standard Guru Malaysia, nescaya Malaysia akan dapat melahirkan guru Malaysia yang bertaraf dunia. Sebagai contoh guru Adiwira iaitu Samuel Isaiah, telah tersenarai dalam 10 finalis terbaik bagi menerima anugerah Hadiah Guru Global 2020. Beliau telah tersenarai bersama sembilan lagi guru dari seluruh dunia pada 2020 anjuran Yayasan Varkey yang berpangkalan di Dubai. Beliau menjadi tular dek kerana telah memperkenalkan “sekolah pokok” dan juga menggunakan ukulele dalam kalangan muridnya yang berketurunan suku Jakun di Sekolah Kebangsaan Runchang, Muadzam Shah. Melalui keberkesanan idea dan kreativiti beliau telah membentuk ruang pembelajaran yang lebih menyeronokkan dan berjaya menarik kehadiran yang tinggi dalam kalangan murid Orang Asli untuk mata pelajaran Bahasa Inggeris.

    Dari komponen-komponen yang terkandung di dalam Standard Guru Malaysia (SGM) ini, keperluan pengetahuan dan amalan Standard Guru Malaysia (SGM) dalam kalangan bakal guru dan guru adalah sangat penting. Ini kerana, bakal guru akan lebih kompeten, berpengetahuan dan mahir dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP). Standard Guru Malaysia (SGM) yang telah ditetapkan ini menjadi satu garis panduan kepada bakal guru dan guru-guru dalam perkhidmatan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka dan menjamin keberkesanan pengajaran dan pembelajaran kepada pencapaian pelajar. Sehubungan dengan itu, setiap latihan dan program pendidikan guru perlu merangka kurikulum pengajian berdasarkan standard dan komponen yang telah ditetapkan dalam SGM bagi melahirkan guru yang membantu dalam membangunkan modal insan cemerlang. Selain itu, kefahaman guru terhadap proses integrasi nilai tertinggi iaitu kepercayaan dan keyakinan kepada Tuhan melalui proses pendidikan perlu dimantapkan kerana ia adalah asas untuk melahirkan insan berakhlak mulia. 


DISEDIAKAN OLEH :

DANG AQIELA BINTI ZABIDI

(D20201092343)

Ulasan