ANALISIS KRITERIA KERJAYA GURU SEBAGAI PROFESIONAL DALAM PERKHIDMATAN AWAM.
Menurut Kamus Dewan, ‘profesion’
merujuk kepada pekerjaan yang mana mengutamakan pendidikan yang tinggi dan
mempunyai latihan yang khusus atau khas sebagai contoh dalam konteks pendidikan
ialah pekerjaan sebagai seorang pendidik ataupun guru. Profesion juga
melibatkan pekerjaan yang berbayar atau mempunyai upah, terutamanya pekerjaan
yang memerlukan latihan yang lama dan kelayakan formal.
Menurut Lieberman (1956),
ciri-ciri yang memenuhi kepentingan profesion adalah kepentingan intelek,
kecukupan latihan ikhtisas, khidmat yang dapat membantu masyarakat, mementingkan
kualiti perkhidmatan, memiliki kod etika dan organisasi sendiri untuk menguruskan
perkara-perkara yang berkaitan profesion.
Profesion
perguruan, merupakan antara profesion yang tertua di dunia. Peranan seorang guru
adalah amat penting disebabkan oleh peredaran masa yang semakin moden. Guru bukan
sahaja berperanan untuk menyampaikan ilmu sahaja tetapi kini mereka juga berperanan
untuk menjadi pemudah bicara untuk mencapai tujuan proses pengajaran dan
pendidikan yang berkesan.
Oleh
hal itu, terdapat beberapa kriteria umum yang perlu dilihat untuk menganalisis
tahap kerjaya guru seperti perkhidmatan unik, tahap pendidikan yang tinggi,
latihan khas yang lama, kod etika perkidmatan, tanggungjawab dan persatuan.
Perkhidmatan Unik: -
Kriteria yang pertama ialah
perkhidmatan unik. Profesion perguruan merupakan profesion yang unik dan diperlukan
oleh masyarakat. Hal ini kerana, guru sahaja merupakan individu yang mampu
untuk memberikan perkhidmatan pendidikan yang terbaik. Tujuannya adalah untuk
membangkitkan personaliti, kebolehan intelek, rohani, emosi dan jasmani pelajar
secara keseluruhannya. Hanya guru yang pakar dan terlatih sahaja yang mampu
untuk memberikan dan mewariskan kemahiran dan pengetahuan kepada generasi
pelajar yang seterusnya.
Tahap Pendidikan Yang Tinggi: -
Kriteria
yang kedua pula ialah tahap pendidikan yang tinggi. Seorang guru yang mempunyai
profesion tinggi adalah guru yang menjalani latihan pengajian di institusi pendidikan
dalam tempoh empat hingga lima tahun. Seterusnya, dapat menguasai 3 komponen
utama iaitu pengetahuan dan kefahaman, kemahiran kaedah dan teknik dan amalan
nilai professional. Menurut Shulman (1986), 7 kategori yang perlu dikuasai
untuk memenuhi profesion perguruan adalah pengetahuan pedagogi, pedagogi
kandungan subjek, pengurusan bilik darjah (Kemahiran kaedah dan teknik), kandungan
subjek, kurikulum, pelajar, pendidikan dan falsafah, matlamat (pengetahuan dan
kefahaman), tujuan dan nilai-nilai murni pendidikan (teknik dan amalan nilai professional).
Latihan Khas Yang Lama: -
Kriteria
yang ketiga ialah latihan khas yang lama. Seseorang guru yang professional haruslah
menjalani latihan ikhtisas terlebih dahulu sebelum menceburkan diri dalam bidang
pendidikan dan perguruan. Latihan ikhtisas memberikan kefahaman dan kemahiran
terhadap tanggungjawab yang bakal dipikul. Terdapat juga kewujudan bidang program
pendidikan yang khas seperti di Institut Pendidikan Guru (IPG) yang memerlukan
masa latihan perguruan dan praktikal selama 4 tahun. Selain itu, terdapat
tawaran kepada lepasan Ijazah Sarjana Muda yang ingin menceburi dalam bidang
perguruan. Mereka perlu mengambil Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) selama
2 tahun.
Kod Etika Perkhidmatan: -
Kriteria
yang keempat ialah kod etika perkhidmatan. Kod etika merupakan satu dasar perlakuan
atau tingkah laku bagi sesebuah organisasi yang merangkumi aspek moral yang
baik atau buruk dengan memberikan garis panduan kepada ahlinya. Dalam bidang
pendidikan, majoriti guru di Malaysia merupakan kakitangan kerajaan yang mana
mereka perlu mematuhi kod etika profesion perguruan iaitu ‘Tatasusila Profesion
Keguruan’ dimana ianya digariskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Kod
etika tersebut menjadi panduan kepada setiap guru untuk menjaga imej profesion masing-masing.
Jika terdapat guru yang melanggar kod etika ini maka denda atau hukuman boleh
dikenakan terhadap mereka merujuk kepada kesalahan yang dilakukan. Terdapat 4
komponen utama kod etika profesion keguruan iaitu tanggungjawab terhadap murid,
ibu bapa, rakan sekerja dan profesion keguruan dan masyarakat dan negara.
Tanggungjawab: -
Kriteria yang kelima ialah tanggungjawab. Dalam bidang pendidikan, ahli sesebuah profesion keguruan akan diberikan amanah dan perlu bertanggungjawab terhadap semua tindakan dan perlakuan yang dibuat. Hal ini kerana profesion keguruan melibatkan kebajikan manusia dan masyarakat yang menjadikan tanggungjawab mereka berat. Guru bertanggungjawab terhadap semua aspek sama ada dari aspek pelajar, ibubapa, masyarakat dan juga negara. Guru juga bertanggungjawab dalam membina masyarakat berlandaskan Etika Profesion Keguruan. Tanggungjawab utama yang perlu dipikul oleh seorang guru tertumpu kepada tiga perkara yang memfokuskan kepada kekuatan dalaman iaitu dari aspek nilai, etika dan agama.
Persatuan Atau Badan Professional: -
Kriteria
yang keenam dan terakhir ialah persatuan atau badan professional. Kebanyakan
sesebuah profesion keguruan mempunyai badan professional atau organisasi atau
persatuan keguruan masing-masing yang terdiri daripada pelbagai ahli jawatankuasa
yang terdiri daripada guru-guru. Mereka mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan kepada
guru yang membuat kesalahan melanggar kod etika perguruan. Ianya bertujuan meningkatkan imej profesion. Walaubagaimanapun,
ianya tidak berapa efektif disebabkan persatuan atau badan ini hanya
mementingkang perkara berkaitan skim perkhidmatan.
DISEDIAKAN OLEH:
WAN MUHAMMAD SYAFIQ IQBAL BIN WAN OTHAMAN
D20201092342
Ulasan
Catat Ulasan